Tindakan polis menahan Hishamuddin Rais kerana dituduh menjadi salah seorang perancang rusuhan para penyokong Anwar Ibrahim beberapa hari lalu tidak mengejutkan bekas pelajar Universiti Malaya (UM) angkatan 70-an.
Ramai bekas pelajar UM di tahun 70-an yang seangkatan dengannya, memang mengenali siapa Hishamuddin.
Beliau memanglah seorang pelajar yang pintar serta diberi Allah kebolehan berucap yang luar biasa. Beliau boleh berucap dalam bahasa Malaysia dan kemudiannya terus diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan begitu baik dan lancar sekali. Ucapan beliau menghidupkan “Speaker’s” Corner di hadapan perpustakaan UM ketika itu.
Walaupun beliau seorang pelajar yang bijak tetapi beliau memilih untuk menjadi pemimpin pelajar sepenuh masa dan menjadi pelajar hanya separuh masa sahaja.Beliau menjadi salah seorang pemimpin tertinggi Persatuan Sosialis Universiti Malaya (PSUM), yang turut menguasai kepimpinan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).
Ketika itu PSUM merupakan sebuah gerakan sayap kiri yang radikal – sosialis komunis – di kampus dan di luar kampus. Hishamuddin begitu tertarik dengan gerakan untuk menumbangkan Kerajaan termasuk menerusi rampasan kuasa. Pada tahun 1974, beliau dikatakan pergi ke Bangkok untuk belajar cara-cara melakukan rampasan kuasa. Ketika itu, Thailand mengalami satu demi satu rampasan kuasa yang sangat kerap.
Sekembali dari Bangkok, Hishamuddin dan rakan-rakannya berpeluang ‘mencuba rampasan kuasa’ di Malaysia dengan mengambil alih pentadbiran UM pada 2 September 1974. Waktu itu, Prof. Ahmad Ibrahim (Allahyarham) menjadi pemangku Naib Canselor kerana Prof. Diraja Ungku Aziz sedang dalam cuti sabatikal.
PSUM menduduki pejabat pentadbiran, termasuk pejabat Naib Canselor, sehari suntuk sebelum mereka ditumpaskan oleh kumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Nasionalis (KN) pada malam itu.
Sejak itu Hishamuddin melarikan diri terus tanpa sempat menghabiskan pengajiannya dalam bidang sejarah. Sejak tahun 1974, ramai yang tidak mengetahui ke mana beliau pergi hinggalah beberapa tahun kemudian ada rakan-rakannya yang betemu beliau di London.
Khabarnya selepas melarikan diri ke luar negara, beliau tinggal buat beberapa ketika di Rusia, negara pengamal sistem sosialis-komunis yang diagungkan oleh Hishamuddin. Tetapi pada hakikatnya, penyokong kuat sosialis-komunis itu sendiri tidak tahan tinggal lama di Rusia, akhirnya menetap di kota kapitalis London selama kira-kira 15 tahun.
Pada pertengahan tahun 90an, Hishamuddin kembali ke Malaysia. Beliau tidak pun ditahan kerana ‘dosa-dosanya’ di masa silam, bahkan mendapat sanjungan daripada beberapa rakan-rakannya yang sedang menjawat kedudukan penting ketika itu.
Beliau mendapat sokongan kuat daripada Anwar Ibrahim dan para penyokong Anwar. Antara rakarakan yang membantu Hishamuddin untuk ‘pulih’ di Malaysia adalah Ahmad Zahid Hamidi, waktu itu menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional. Akhbar Berita Minggu yang dipimpin oleh Ahmad Nazri Abdullah ketika itu pula memberi kolum mingguan kepadanya sebagai pengkritik filem.
Usaha pemulihan ini terus dibuat oleh rakan-rakannya termasuk memberi anugerah kepadanya. Pada tahun lalu, Finas menganugerah trofi Tan Sri Abdul Samad Idris kepadanya kerana rencana filem dalam Utusan Malaysia bertajuk ‘Kelas Sederhana dan Filem Melayu’.
Ramai yang merasa hairan Hishamuddin bukan saja tidak ditahan tetapi terus mendapat sanjungan. Beliau yang mendapat kemudahan Kerajaan dengan berpeluang belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan kemudian ke UM, tetapi telah mensia-siakan hidupnya sendiri tanpa dapat berbakti kepada rakyat dan negara, bukan kerana sesiapa tetapi kerana pilihan sendiri.
KINI BELIAU TERLIBAT PULA DENGAN RUSUHAN DI MASJID NEGARA. INILAH HISHAMUDDIN RAIS, YANG TIDAK AKAN PERNAH PADAM HASRAT DAN CITA-CITANYA TANPA MEMIKIRKAN SOAL KESELAMATAN 22 JUTA RAKYAT MALAYSIA YANG LAIN.
KEPADA HISHAMUDDIN, KITA HARUS MEMBERITAHUNYA BAHAWA MALAYSIA MENJADI MAJU BUKAN DI ATAS SUMBANGANNYA!